Masjid Raja Bukit Besar Musnah Sekelip Mata




Masjid kampung kita, Masjid Raja Bukit Besar di Kuala Terengganu akhirnya ranap menyembah bumi diroboh semenjak april yang lalu. Masjid ini dipercayai sudah berumur lebih 80 tahun digelar Masjid Raja kerana menjadi masjid rasmi raja Terengganu pada suatu masa dahulu.

Sebuah masjid yang telah diberi status Masjid Raja dan menjadi masjid rasmi diraja suatu ketika dulu, dengan pelbagai nilai sejarah dan kesenian hanya tinggal kenangan yang memalukan untuk dijawab kepada generasi yang akan datang yang mencari-cari nilai sejarah dan warisan alam negeri Terengganu

Sayangnya dalam usaha mencipta nama untuk memahat sejarah ada segelintir tokoh negeri berasa bangga dengan melihat bangunan-bangunan baru menggantikan masjid-masjid yang bersejarah. Masjid-masjid yang asalnya diasahkan atas titik peluh dan sadaqah jariah orang-orang dulu ingin dirobohkan dengan sewenang-wenangnya.

Longgokan kayu dari sebahagian binaan asal masjid dibiarkan bermandi hujan dan berjemur panas menantikan masa untuk reput dan mungkin dibuang begitu sahaja. Sebahagian besar tiang-tiang utama masjid berasal dari jenis-jenis kayu yang berkualiti masih dalam keadaan baik.


Sebelum ini, di perkarangan perkuburan masjid ini juga heboh baru-baru ini dengan peristiwa pokok pait mengeluarkan air bagaikan tangisan – hinggakan ada yang sesetengah masyarakat sekitar itu bertanya apakah “tangisan” tersebut kerana membantah nasib yang bakal menimpa masjid tersebut.

Setelah ranapnya dan tiada lagi Masjid Raja Chendering yang asal kini satu lagi warisan sejarah di Terengganu bakal dihilangkan dari muka bumi. Masjid Raja Bukit Besar yang bakal menerima nasib yang sama mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang gemilang.

Sayu dan pilu mengenangkannya. Putus sudah bekalan amal jariah orang-orang terdahulu



0 comments:

Post a Comment